14 February 2011

Bermimpi Melihat Orang Yang Warak Atau Soleh

Sesiapa yang bermimpi melihat qari dan penghafaz Quran berkumpul di satu tempat, bererti di sana berkumpul pemimpin-pemimpin yang terdiri daripada raja-raja, pengusaha dan ulama.

Jika ada orang yang bermimpi orang-orang soleh yang sudah mati hidup semula di kampungnya, maka kampung itu akan menjadi subur, rakyatnya makmur dan bahagia di bawah pemimpin yang baik.

Bermimpi Melihat Ali Bin Abu Talib

Orang yang bermimpi melihat Ali bin Abu Talib akan mendapat ilmu, keberanian dan sifat zuhud.

Bermimpi Melihat Usman R.A.

Orang yang bermimpi melihat Usman.r.a. dalam keadaan hidup akan diberi anugerah pemalu, pemurah tetapi ramai yang khianat kepadanya.

Bermimpi Melihat Umar R.A.

Orang yang bermimpi melihat Umar Al-Khattab akan mendapatkan kekuatan dalam menjalankan agama, adil dalam ucapan dan berbuat baik serta penyantun kepada bawahannya.

Bermimpi Melihat Abu Bakar R.A.

Sesiapa yang bermimpi melihat Abu Bakar r.a. dalam keadaan hidup, maka dia akan menjalankan ibadat kepada Allah S.W.T. dengan baik.

30 January 2011

Bermimpi Melihat Malaikat Maut A.S.

Sesiapa yang melihat Malaikatul Maut a.s. dalam keadaan gembira, maka dia akan mati syahid. Sesiapa yang melihatnya dalam keadaan marah, maka dia akan mati sebelum bertaubat. Sesiapa yang melihat Malaikatul Maut a.s.mencekiknya, maka dia hampir mati kemudian diselamatkan oleh Allah S.W.T.. Ada juga yang mengatakan orang bermimpi melihat Malaikatul Maut a.s. akan panjang umurnya. 


Bermimpi Melihat Malaikat Israfil A.S.

Sesiapa yang melihat Israfil a.s. dalam keadaan dukacita dan sedang meniupkan sangkakala, dan dia menyangka hanya dia lah yang mendengarnya, maka orang yang bermimpi itu akan mati. Jika dari mimpinya itu dia melihat orang-orang lain pun mendengarnya juga, maka akan ada yang mati di kampung itu. Ada yang mengatakan mimpi semacam ini menunjukkan akan munculnya keadilan setelah kezaliman, atau akan hancurnya orang-orang yang zalim. 


Bermimpi Melihat Malaikat Mikail A.S.

Sesiapa yang bermimpi melihat Malaikat Mikail a.s. akan mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Ini kalau yang bermimpi itu orang yang bertaqwa. Kalau dia bukan orang yang bertaqwa, maka mimpinya itu merupakan teguran atau peringatan kepadanya. Kalau dia melihatnya berada di satu kampung, maka kampung itu akan dicurahi hujan dan menjadi subur. Kalau orang yang bermimpi itu dicakapi oleh malaikat itu atau menerima sesuatu daripadanya, maka dia akan mendapat nikmat yang mengembirakan kerana yang datang itu adalah malaikat rahmat.

25 January 2011

Bermimpi Melihat Malaikat Jibril A.S.

Orang yang bermimpi menerima makanan dari Malaikat Jibril a.s. akan masuk syurga insya-Allah. Jika dia melihatnya dalam keadaan sedih dan dukacita, maka dia akan mendapat kesusahan dan seksa Allah S.W.T. kerana yang dilihatnya itu malaikat tukang seksa.



Bermimpi Melihat Malaikat

Melihat malaikat dalam tidur, jika malaikat itu yang dikenal dan dalam keadaan bergembira, maka akan berlaku sesuatu bagi orang yang bermimpi. Sesuatu yang dimaksudkan itu termasuklah kemegahan, kekuatan, berita mengembirakan, mendapat pertolongan setelah dizalimi, sembuh setelah berpenyakit, tenteram setelah dalam ketakutan, kaya setelah miskin, bergembira setelah menderita, dapat menghajikan kawannya atau dia syahid dalam peperangan.

Jika ada orang yang bermimpi bermusuhan dengan Malaikat Jibril dan Mikail atau berdebat dengan mereka, maka ada kemungkinan dia mendapat seksa Allah S.W.T. dan mimpinya bersamaan dengan mimpi orang Yahudi, nauzu billah minzalik.

Jika ada orang yang bermimpi melihat malaikat datang kepadanya memberitahu akan lahir anaknya, maka dia akan mendapat anak yang alim, terkemuka dan cerdik.

Sesiapa yang melihat malaikat di tangannya ada seranting buah-buahan, maka dia akan meninggalkan dunia dalam keadaan mati syahid.

Sesiapa yang melihat malaikat masuk ke dalam rumahnya, hendaklah dia berhati-hati akan kemasukan pencuri ke rumahnya.

Sesiapa yang melihat malaikat mengambil senjatanya, maka akan hilanglah kekuatannya. Terkadang diertikan dia akan berpisah dengan isterinya.

Jika dia melihat malaikat berada di satu tempat dan dalam keadaan menakutkan mereka, maka akan terjadi fitnah dan kehancuran di tempat itu.

Jika ada orang yang melihat malaikat itu rukuk atau sujud di hadapannya, maka dia akan meningkat tetapi kalau dia melihat bergelut dengan malaikat, maka dia akan dukacita dan hina setelah sebelumnya dia mulia.

Sesiapa yang melihat malaikat turun dari langit, maka itu menunjukkan mulianya orang yang benar dan hinanya kelompok yang batil dan menunjukkan akan ditolongnya orang-orang yang berjihad.

Jika ada orang yang melihat malaikat itu seperti wanita, bererti dia mendustakan ayat-ayat Allah S.W.T..

Jika ada orang yang melihat seolah-olah dia terbang bersama malaikat atau naik ke langit bersama malaikat dan tidak kembali lagi, maka dia akan mendapat kemuliaan di dunia, iaitu mendapatkan mati syahid.

Jika ada orang yang melihat seolah-olah dia melihat kepada malaikat, maka dia akan mendapat musibah.

Sesiapa yang melihat seolah-olah malaikat mengutuknya bererti dia tidak menjalankan agamanya dengan baik.

Sesiapa yang melihat malaikat menghimpitnya, maka akan hancurlah rumahnya.

Jika dia melihat satu rombongan malaikat berada di satu desa atau kampung, maka di sana ada orang yang alim atau zuhud yang mati. Mungkin juga ada lelaki zalim yang dibunuh atau runtuhnya rumah sesuatu kaum.

Jika ada yang melihat malaikat berkata kepadanya: "Bacalah kitab Allah," maka kalau dia orang yang baik akan menerima keburukan dan kalau dia bukan orang yang baik, hendaklah dia berhati-hati.

 

Bermimpi Melihat Nabi Muhammad S.A.W.

Dari Abu Hurairah, beliau berkata, "Saya mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang melihat aku dalam mimpi, maka samalah dia melihatku ketika jaganya, kerana syaitan tidak sanggup membuat gambaranku."

Kata Abu Salamah, Abu Qatadah berkata, "Rasullullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang melihat aku, maka dia melihat yang benar."

Dari Anas bin Malik, katanya Rasullullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang melihat aku dalam tidurnya, maka dia tidak masuk neraka."

Dari Sa'id bin Qais, dari ayahnya, katanya Rasullullah s.a.w. bersabda:

"Tidak masuk neraka orang yang melihat aku dalam tidurnya."

Sesungguhnya Allah S.W.T. mengutus Muhammad s.a.w. sebagai rahmat untuk sekalian alam. Beruntunglah orang yang sempat melihatnya kemudian dia mengikutinya dan juga beruntunglah orang yang melihat beliau dalam tidurnya kerana:

  1. Jika yang melihat beliau itu orang yang mempunyai hutang, maka dia akan dapat menyelesaikan hutangnya.
  2. Jika yang melihatnya itu orang yang berpenyakit maka akan sembuhlah penyakitnya.
  3. Jika yang melihatnya itu orang yang sedang berperang maka akan menanglah dia dalam peperangan.
  4. Jika dia melihatnya dalam keadaan gembira, maka dia akan mengerjakan haji.
  5. Jika dilihat di kawasan yang kering, akan suburlah kawasan itu.
  6. Jika dilihat seolah-olah beliau berada di negeri yang bermaharajalela kezalimannya, maka akan tegaklah keadilan.
  7. Jika dilihat di tempat yang kacau, maka akan amanlah tempat itu.
  8. Jika seseorang itu melihat meminum darahnya kerana cinta kepadanya, yakni di tempat yang sunyi, maka dia akan syahid atau mati dalam berjihad.
  9. Jika bermimpi meminum darahnya di tempat terang, menunjukkan orang yang munafik atau ada mencaci ahli bait Rasullullah s.a.w atau turut membantu membunuh mereka.
  10. Jika ada orang yang melihat Rasullullah s.a.w berpenyakit, kemudian sembuh dari penyakitnya, bererti penduduk di tempat itu menjadi baik setelah sebelumnya membuat kerosakan.
  11. Jika ada orang melihat Rasullullah s.a.w sedang menaiki tunggangan, maka dia akan menziarahi kuburnya.
  12. Jika melihat beliau sedang berjalan kaki, maka orang yang bermimpi itu tetap dalam pendiriannya.
  13. Jika ada orang yang melihat beliau sedang azan di tempat yang hancur, maka tempat itu menjadi makmur.
  14. Jika ada orang melihat Rasullullah s.a.w saling memberi makan dengannya, bererti merupakan amaran supaya dia mengeluarkan zakat hartanya.
  15. Jika ada orang melihat Rasullullah s.a.w sudah wafat, bererti ada keluarganya akan mati.
  16. Jika ada orang melihat jenazah Rasullullah s.a.w di suatu tempat, maka akan terjadi bencana besar di tempat itu.
  17. Jika ada orang melihat turut mengiringi jenazah Rasullullah s.a.w sampai ke perkuburan, bererti dia cenderung melakukan perkara bid'ah.
  18. Jika ada orang yang bermimpi yang bermimpi menziarahi kuburan Rasullullah s.a.w, maka dia akan mendapat harta yang banyak.
  19. Jika ada orang yang melihat seolah-olah dia anak Rasullullah s.a.w padahal dia bukan keturunan Baginda, bererti imannya ikhlas dan sebaliknya, kalau ada orangmelihat seolah-olah dia adalah ayah Rasullullah s.a.w, maka itu menunjukkan kerapuhan agamanya serta kelemahan iman dan keyakinannya.
  20. Jika ada orang melihat Rasullullah s.a.w memberikan sesuatu yang disenangi kepadanya, atau memberi makanan atau minuman, maka dia akan mendapatkan kebaikan sesuai dengan kadar yang diberikan Rasullullah s.a.w kepadanya dalam mimpi itu.

Satu pendapat menyatakan, barangsiapa yang melihat Rasullullah s.a.w dalam mimpinya, maka takwilnya bukan hanya berlaku kepadanya, tetapi kepada jemaah kaum Muslimin.

Bermimpi Melihat Nabi Khidir (A.S.)

Jika ada orang bermimpi melihat Nabi Khidir a.s. bererti akan suburlah tanah di kawasan itu dan akan muncul kemakmuran setelah sebelumnya tanahnya kering-kontang. Itu juga menandakan munculnya keamanan setelah sebelumnya terjadi kekacauan yang menakutkan.

Kata sebahagian mereka sesiapa yang melihat sebahagian nabi-nabi memukulnya, maka dia akan mendapat keuntungan di dunia, sama ada keuntungan dalam bidang agama atau dunianya. Sesiapa yang melihat seolah-olah dirinya berubah menjadi nabi tertentu (yang dikenal), maka dia akan mendapat cubaan sesuai dengan yang dialami oleh nabi berkenaan tetapi akhirnya dia menjadi menang dan berjaya atau menjadi penyeru ke jalan Allah S.W.T..



24 January 2011

Bermimpi Melihat Nabi Isa (A.S.)

Orang yang bermimpi melihat Nabi Isa a.s. bererti dia adalah lelaki yang berkat, banyak kebaikannya, banyak musafir, diberikan ilmu-ilmu perubatan dan ilmu lainnya.

Ada yang mengatakan jika wanita yang sedang hamil bermimpi melihat Nabi Isa a.s., maka dia bakal melahirkan anak yang bijaksana. Sesiapa yang melihat Maryam binti Imran akan mendapat kemegahan dan pangkat serta tercapai segala kehendaknya. Jika yang bermimpi itu sedang hamil akan mendapat anak yang bijak, sebagaimana melihat Nabi Isa a.s..

Sesiapa yang melihat Denial al-Hakim, maka dia akan mendapat ilmu takwil mimpi dan dapat mengalahkan orang-orang zalim sekalipun sebelumnya dia terpaksa menghadapi pelbagai rintangan.

Ada yang mengatakan dia akan menjadi amir atau menteri.


Bermimpi Melihat Nabi Yahya (A.S.)

Orang yang bermimpi melihat Nabi Yahya a.s., akan mendapat taufik dan dijadikan orang yang bertaqwa.

Bermimpi Melihat Nabi Zakaria (A.S.)

Barangsiapa yang bermimpi melihat Nabi Zakaria a.s. di dalam mimpinya maka dia akan mendapat anak yang taqwa setelah tuanya.


Bermimpi Melihat Nabi Sulaiman (A.S.)

Sesiapa yang melihat Nabi Sulaiman a.s. dalam mimpinya, maka dia akan menjadi raja dan mendapat ilmu. Kalau dia melihatnya dalam keadaan mati di atas mimbar atau katil, maka dia akan mati ketika menyandang jawatan khalifah, amir atau ketua dan lama orang baru mengetahui tentang kematiannya. 

Menurut satu pendapat pula, sesiapa yang melihat Nabi Sulaiman a.s. dalam mimpinya, akan tunduk kepadanya pemimpin dan musuh dan dia akan banyak berpergian.


Bermimpi Melihat Nabi Daud (A.S.)

Barangsiapa yang bermimpi melihat Nabi Daud a.s., maka dia akan menjadi raja dan mendapat kekuatan.


Bermimpi Melihat Nabi Ayyub (A.S.)

Sesiapa yang bermimpi melihat Nabi Ayyub a.s., maka Allah S.W.T. akan menurunkan bala' kepadanya. Termasuk bala' yang akan menimpa dirinya, hartanya, keluarganya dan anak-anaknya. Namun demikian Allah S.W.T. akan mengembalikannya semua, bahkan melipat gandakannya.


Bermimpi Melihat Nabi Musa (A.S.) dan Nabi Harun (A.S.)

Sesiapa yang melihat Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. dalam mimpinya, atau melihat salah seorang dari mereka, maka di tangannyalah akan tumpas orang-orang yang suka memaksa dan menzalim. Kalau dia orang yang suka berperang, maka di tangannya akan hancur musuh-musuh itu.



Bermimpi Melihat Nabi Syu'aib (A.S.)

Orang yang melihat Nabi Syu'aib a.s. dalam mimpinya akan menjadi buta. Jika dia melihatnya dalam rupa yang lain, maka dia akan dihinakan oleh kaum yang hak dia ada di tangan mereka dan mereka menganiayanya. Terkadang mimpi seperti ini menunjukkan orangnya mempunyai anak perempuan.



Bermimpi Melihat Nabi Yunus (A.S.)

Sesiapa yang bermimpi melihat Nabi Yunus a.s. bererti dia terburu-buru dalam urusan yang dia hadapi dan dia mendapat kesempitan tetapi akhirnya Allah S.W.T. melapangkannya. Dengan perkataan lain orangnya mudah marah dan mudah memaafkannya. Dan dia mempunyai urusan dengan kaum yang khianat kepadanya.



Bermimpi Melihat Nabi Yusuf (A.S.)

Sesiapa yang melihat Nabi Yusuf a.s. dalam mimpinya akan terkena aniaya, akan dipenjara, jauh dari keluarganya dan dicampakkan ke hutan. Namun demikian setelah itu dia akan diberikan kuasa atau kerajaan dan tunduk kepadanya musuh-musuhnya. 

Menurut hikayat ada orang yang bermimpi seolah-olah mendapatkan salah satu khuf Nabi Yusuf a.s.. Setelah bangun dari tidurnya tiba-tiba dia menjadi orang yang pakar dalam mentafsirkan mimpi.



Bermimpi Melihat Nabi Ya'qub (A.S.)

Sesiapa yang bermimpi melihat Nabi Ya'qub a.s. akan mendapat tentangan yang mendukacitakan dari sebahagian anak-anaknya tetapi akhirnya Allah S.W.T. akan melapangkannya dan menjadikan mereka semua suka kepadanya. 


Bermimpi Melihat Nabi Ismail (A.S.)

Sesiapa yang melihat Nabi Ismail a.s. dalam mimpinya, maka dia akan membangunkan masjid atau turut membangunkannya. Menurut satu pendapat sesiapa yang bermimpi melihat Nabi Ismail a.s. akan menerima ujian iman dari ayahnya, kemudian Allah S.W.T. meluluskannya dalam ujian itu. 



Bermimpi Melihat Nabi Ishak (A.S.)

Sesiapa yang melihat Nabi Ishak a.s. dalam mimpinya, maka dia akan menerima banyak rintangan dari sebahagian pembesar dan kerabatnya sendiri tetapi kemudian Allah S.W.T. akan melapangkannya, memberikan kegembiraan dan kemuliaan dan juga memberitakan keturunannya orang-orang soleh penguasa. Ini kalau dia melihat Nabi Ishak a.s. dalam keadaan sempurna dan cantik. Dan kalau dia melihat dalam keadaan berubah keadaannya, maka dia akan menjadi buta, nauzu billahi minzalik.


Bermimpi Melihat Nabi Ibrahim (A.S.)

Sesiapa yang melihat Nabi Ibrahim a.s. dalam mimpinya, maka dia akan dapat mengerjakan haji - Insya-Allah. Menurut satu pendapat dia akan mendapat cabaran yang cukup berat dari raja yang zalim tetapi akhirnya dia dapat mengalahkannya dan segala musuh-musuhnya. Allah S.W.T. juga akan memberikan nikmat yang banyak kepadanya dan akan menikahi wanita solehah. Ada yang mengatakan bermimpi melihat Nabi Ibrahim a.s. menandakan orang derhaka kepada ayahnya.


20 January 2011

Bermimpi Melihat Nabi Hud (A.S.) dan Nabi Salih (A.S.)

Sesiapa yang bermimpi melihat Nabi Hud a.s. akan banyak mendapat rintangan dari musuh-musuhnya dan mereka menzaliminya tetapi akhirnya dia akan dapat mengalahkan mereka.


Bermimpi Melihat Nabi Nuh (A.S.)

Sesiapa yang bermimpi melihat Nabi Nuh a.s., maka panjang umurnya tetapi banyak dugaan yang dihadapinya dari pihak musuh-musuhnya. Tetapi akhirnya dia akan menang terhadap musuh-musuhnya dan dia termasuk dikalangan orang-orang yang bersyukur.


Bermimpi Melihat Nabi Idris (A.S.)

Sesiapa yang bermimpi melihat Nabi Idris a.s., maka dia akan dimuliakan dengan menjadikannya orang yang warak, dan dia juga akan mendapat akhir hayat yang baik.



Bermimpi Melihat Nabi Adam (A.S.)

1) Sesiapa yang melihat Nabi Adam a.s. atas keadaannya yang sebenar (seperti yang diketahui dari cerita-cerita) maka dia akan menjadi pemimpin dan mempunyai kekuasaan yang luas, ertinya kalau dia orang yang layak menjadi pemimpin.

2) Jika melihat dia bercakap-cakap dengannya maka dia akan mendapatkan ilmunya.

3) Jika sesiapa yang melihat Nabi Adam dalam mimpinya maka dia akan terpedaya oleh sebahagian musuh-musuhnya tetapi tidak lama kemudian Allah S.W.T. melepaskannya.

4) Jika dia melihat berubah warna dan keadaanya, maka menunjukkan bahawa dia akan berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain tetapi akhirnya dia akan kembali ke tempat itu juga.

5) Sesiapa yang melihat anak Nabi Adam a.s. maka dia akan mendapatkan harta yang banyak, mendapat anak dan kehidupan yang bahagia.


Bermimpi Melihat Nabi Musa (A.S.)

Al-Usatz Abu Sa'id berkata: "Bermimpi melihat para nabi ada dua kemungkinan. Mungkin merupakan khabar gembira dan mungkin juga satu peringatan. Dan melihat nabi itu ada dua kemungkinan. Pertama melihat hal atau keadaannya yang sebenar. Ini menunjukkan orang yang bermimpi itu baik, sempurna, mulia dan menang dari musuh-musuhnya. Kedua, melihat nabi tidak seperti keadaannya yang sebenar. Misalnya dia melihat keadaan nabi dalam keadaan masam mukanya. Ini menunjukkan buruknya keadaan orang yang bermimpi itu dan bersangatan musibah yang diterimanya tetapi akhirnya Allah S.W.T. melapangkannya. Kalau dia bermimpi melihat seolah-olah dia membunuh nabi, itu menunjukkan bahawa dia tidak menunaikan amanah atau menyalahi janji."



Bermimpi Melihat Allah S.W.T.

1) Sesiapa yang melihat seolah-olah dia berdiri di hadapan Allah S.W.T. dan Allah memandang kepadanya, maka mimpi itu merupakan mimpi rahmat jika yang bermimpi itu orang salih. Tetapi kalau yang bermimpi itu bukan orang yang salih, maka itu merupakan peringatan kepadanya.

2) Jika seseorang itu bermimpi munajat atau bersujud kepada Allah S.W.T., maka dia akan lebih dekat kepada-Nya dan dia disayangi masyarakat.

3) Jika seseorang itu bermimpi melihat Allah S.W.T. mencakapinya dari balik pendinding, bererti dia menjalankan agamanya dengan baik serta menunaikan amanah dengan baik. Ini maksudnya kalau dia ada memegang amanah atau merupakan penguasa. Kalau dia melihat Allah S.W.T. mencakapinya secara langsung dan tanpa pendinding, bererti dia telah menyimpang dalam menjalankan agamanya.

4) Jika seseorang itu melihat dia dekat kepada Allah S.W.T., melihat Allah S.W.T. memuliakannya, mengampuni dosanya, telah menghisabnya dan memberikan khabar yang gembira kepadanya tetapi tidak jelas baginya keadaan dan sifat-sifat Allah S.W.T. itu, maka dia akan menjumpai Allah S.W.T. pada hari kiamat seperti dalam mimpinya iu.

5) Jika dia melihat Allah S.W.T. menjanjikan keampunan dan rahmat kepadanya, maka janji itu benar dan tidak perlu diragui kerana Allah S.W.T. tidak akan menyalahi janji-Nya tetapi dia mungkin akan menghadapi bala' (cubaan) sebelum matinya.

6) Jika melihat seolah-olah Allah S.W.T. mengajari dan menasihatinya, maka dia akan berhenti melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah S.W.T..

7) Bermimpi melihat Allah S.W.T. memberikan pakaian kepadanya bererti merupakan penyakit atau dukacita yang akan dihadapi . Namun demikian kita patut bersyukur jika mendapatkan mimpi seperti itu.

8) Sesiapa yang melihat nur memancar kepadanya tetapi dia tidak sanggup menceritakan keadaan yang sebenar, bererti tidak bermanfaat di tangannya apa yang ada dalam kehidupannya.

9) Jika dia melihat Allah S.W.T. menamakannya dengan namanya sendiri atau dengan nama orang lain, bererti darjatnya sudah ditinggikan.

10) Jika dia melihat Allah S.W.T. memarahinya bererti orang tuanya sedang marah kepadanya begitu juga sebaliknya.

1) Sesiapa yang melihat dia jatuh dari dinding, jatuh dari langit atau jatuh dari gunung bererti Allah S.W.T. murka kepadanya. 

12) Jika dia melihat dirinya sedang berada di hadapan Allah S.W.T. iaitu di tempat yang dia ketahui, maka akan tegaklah keadilan di kawasan itu dan menjadi subur tanahnya. Akan lenyap dan kalah orang-orang zalim dan akan menang orang-orang yang dizalimi.

13) Jika dia melihat seolah-olah Kursi Allah S.W.T. maka dia akan mendapatkan nikmat dan rahmat-Nya.

14) Jika dia melihat sebuah gambar, lalu dikatakan kepadanya: "Inilah Tuhanmu," atau tidak ada orang yang mengatakan tetapi dia menyangka itu sebagai Tuhannya, lalu dia pun mengabdi dan sujud kepadanya, bererti dia sudah terjatuh kepada yang batil sekalipun menyangka yang dia kerjakan itu yang hak.

15) Sesiapa yang bermimpi mencaci Allah S.W.T., bererti dia sudah kufur nikmat dan tidak redha kepada qada dan qadar-Nya

Catatan:
Telah sabit dalam kitab-kitab hadis bahawa bermimpi melihat Rasulullah s.a.w. adalah mungkin dan mimpinya benar tetapi bermimpi melihat Allah S.W.T. sebagaimana yang disebutkan oleh Muhammad Ibnu Sirin, "Saya sangat meraguinya, bagaimana mungkin dapat melihat Allah S.W.T. sedangkan para nabi pun tidak pernah melihat-Nya. Nabi Musa r.a. berdoa supaya diberi peluang melihat zat Allah S.W.T. tetapi permohonannya itu tidak dikabulkan Allah S.W.T..

Wallahu A'lam.