Mukadimah

Ramai yang menyangka bahawa mimpi hanya permainan tidur yang diakibatkan oleh kerja-kerja harian seseorang serta pengaruh fikirannya dan tidak mempunyai makna apa-apa. Menurut sangkaan mereka jika seseorang itu mempunyai pegangan yang kuat, dia tidak akan melihat sesuatu yang menggerunkan atau menakutkan dalam tidurnya.

Yang jelas, mimpi ini diakui adanya dalam syariat Islam. Sedangkan ilmu untuk mentakwilkan, mentakbirkan atau menafsirkannya diiktiraf oleh ramai ulama. Ramai ulama yang ingin mendalami  masalah takwil atau tafsir mimpi tetapi tidak ramai yang mengetahuinya kerana susahnya.

Al-Imam Ibnu Syahin, dalam mukadimah kitabnya Al-Isyarat Fi Ilmi al-'Ibarat, berkata: "Islam mencerca ilmu tenung kerana hanya Allah-lah yang mengetahui masalah ilmu ghaib. Saya menghindari ilmu-ilmu seperti itu dan tidak meminatinya, dan saya ingin membuat buku yang dapat mendedahkan perkara-perkara ghaib yang sememangnya diakui syarak, iaitu ilmu takwil dan ta'bir mimpi."

Kenapa kita mempertikaikan masalah ta'bir mimpi padahal guru dan pembimbing umat, Muhammad s.a.w. sendiri ada berkata: "Sesungguhnya mimpi itu berlaku seperti yang dita'birkan. Perbandingannya samalah seperti seorang lelaki yang mengangkat kakinya, maka dia menunggu bila ia akan meletakkannya lagi. Jika ada di antara kamu yang bermimpi, maka janganlah dia mencerita-ceritakannya kecuali kepada orang yang alim dan sanggup memberikan nasihat."

Oleh itu, diharap kepada seluruh kaum Muslimin supaya tidak mengenepikan dan memperolok-olokkan ilmu tafsir mimpi ini kerana ini bukan karut tetapi ada dasrnya dalam ajaran Islam.

Ibrahim Muhammad Al-Jamal